
Matlamatnya adalah untuk menamatkan semua bentuk kemiskinan di seluruh dunia. Langkah yang pertama ialah menangani jenis kemiskinan yang menyebabkan seseorang itu tidak mempunyai makanan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan mereka. Matlamat ini bukan sekadar untuk menyediakan makanan dan air tetapi juga termasuk memastikan setiap orang mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal, akses kepada hospital, dan peluang untuk menyuarakan pendapat mereka atau menggunakan kemahiran yang mereka miliki.

685 juta orang di seluruh dunia hidup dengan pendapatan kurang daripada $2.15 sehari.


Kebuluran adalah keadaan kekurangan zat makanan apabila anda tidak makan dengan betul untuk tempoh yang lama. Matlamat ini adalah untuk memastikan setiap orang, daripada kanak-kanak sehinggalah mereka yang berusia mendapat makanan dan nutrisi yang mencukupi. Matlamatnya adalah untuk memelihara alam sekitar dan kepelbagaian tanaman (supaya pelbagai jenis sumber tersedia), dan dalam masa yang sama, meningkatkan pengeluaran makanan asas.

Seramai 3.1 juta kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun meninggal setiap tahun akibat kekurangan zat makanan.


Matlamatnya adalah supaya setiap orang menjadi sihat, mencegah penyakit, dan mendapat akses kepada rawatan perubatan yang mencukupi. Wanita sepatutnya dapat melahirkan bayi dengan selamat, dan ubat atau vaksin harus tersedia untuk semua orang. Matlamat ini termasuklah mengurangkan kecederaan atau kematian akibat kemalangan dan pencemaran udara, air, dan tanah.

Tujuannya adalah untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa melalui pemberian ubat dan vaksin.


Matlamatnya adalah untuk menyediakan pendidikan yang sama berkualiti tinggi kepada semua orang dengan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Menyediakan sekolah yang selamat dan mudah diakses serta menambahkan bilangan guru yang berkelayakan akan membantu mencapai matlamat ini. adalah penting untuk meneruskan pendidikan walaupun semasa di tengah-tengah konflik dan bencana.

Seramai 57 juta kanak-kanak dalam lingkungan umur pelajar sekolah rendah tidak mempunyai peluang untuk ke sekolah.Cuba kita fikirkan punca hal ini berlaku.


Matlamatnya adalah untuk memperkasakan wanita dan gadis bagi menghentikan diskriminasi terhadap mereka. Antara cara untuk melakukannya termasuklah mencegah kemudaratan fizikal, emosi, dan seksual terhadap wanita; menghargai kerja-kerja yang dilakukan di rumah; melindungi hak wanita yang berkaitan dengan kehamilan dan melahirkan anak; serta menggalakkan penyertaan yang sama rata dalam politik, ekonomi, dan lain-lain.

Bilangan wanita yang bekerja di sektor kerajaan adalah sangat rendah di kebanyakan negara.
Mari jadikan wanita setara dengan lelaki dalam pelbagai cara


Matlamatnya adalah untuk menyediakan air bersih dan persekitaran yang sihat kepada semua orang melalui pengurusan kebersihan yang betul. Ini mewujudkan pengurusan air yang baik dan pelupusan sampah untuk semua orang dan langkah-langkah untuk menggunakan semula air.

Ramai orang perlu mengambil air daripada perigi, dan ramai kanak-kanak meninggal akibat meminum air yang tidak bersih.


Matlamatnya adalah untuk menyediakan tenaga yang boleh dipercayai dan harga yang rendah untuk semua orang, tidak hanya daripada kayu atau arang batu tetapi juga daripada sumber elektrik atau gas yang baharu. Memanfaatkan penggunaan tenaga bersih dan boleh diperbaharui (seperti cahaya matahari, angin, aliran air sungai, dan pasang surut laut) dengan sebaik mungkin. Meningkatkan kecekapan tenaga ialah kuncinya.

Mari kita fikirkan mengenai jenis tenaga yang sesuai untuk manusia dan alam sekitar.


Pekerjaan yang sesuai bermaksud semua orang mempunyai akses kepada pekerjaan yang memuaskan yang dapat membantu pertumbuhan ekonomi dan dalam masa yang sama, melindungi sumber semula jadi. Matlamatnya adalah untuk menghentikan buruh kanak-kanak yang membahayakan mental dan fizikal kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang dipaksa bekerja.

Hidup akan menjadi lebih sukar jika tidak mempunyai pekerjaan.
Alangkah baiknya jika lebih banyak syarikat menyedari kepentingan manusia dan alam sekitar.


Infrastruktur bermaksud bangunan, pengangkutan, perkhidmatan dan sebagainya yang diperlukan oleh seseorang dalam kehidupan seharian mereka. Contoh yang lain ialah bekalan air, landasan kereta api, gas, elektrik, dan Internet. Matlamatnya adalah untuk membina infrastruktur kalis bencana, menggalakkan pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan oleh pemimpin negara atau syarikat untuk alam sekitar dan orang yang bekerja?


Matlamatnya adalah untuk mengurangkan ketidaksamaan atau perbezaan antara negara dan di dalam negara. Ketidaksamaan boleh dihapuskan dengan meningkatkan pendapatan orang miskin dan menyingkirkan undang-undang serta amalan yang mendiskriminasi jenis orang tertentu.

Tiada sesiapa suka menerima layanan yang berat sebelah atau didiskriminasi.
Pertumbuhan yang mampan hanya mungkin boleh dicapai apabila masyarakat membenarkan pelbagai jenis orang untuk aktif.


Matlamatnya adalah untuk mewujudkan bandar dan komuniti yang membolehkan semua orang tinggal di perumahan yang selamat dan berkualiti serta dilengkapi dengan akses kepada air, elektrik, dan perkhidmataan penting yang lain. Komuniti mestilah terlindung daripada bencana. Mereka juga mesti memantau pencemaran udara dan pengurusan pembaziran serta menyediakan akses yang selamat dan mudah kepada perkhidmatan untuk kanak-kanak, orang tua, dan golongan rentan yang lain.

Mari kita fikirkan cara untuk menjadikan sesebuah tempat itu lebih selamat dan selesa untuk semua orang.


Matlamatnya adalah untuk memastikan sumber tidak dibazirkan apabila sesuatu barangan dihasilkan dan digunakan. Cara penting untuk mencapainya termasuklah mengurangkan separuh sisa makanan di seluruh dunia; memantau bahan kimia berbahaya yang dilepaskan apabila menghasilkan sesuatu bagi mengelakkan berlaku pencemaran air, udara, dan tanah; serta mengamalkan 3 R (kurangkan, guna semula, kitar semula) untuk memininumkan pembaziran.

Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk menghentikan pembaziran makanan, air, tenaga, dan sumber lain?


Perubahan iklim berlaku disebabkan oleh pelepasan karbon dioksida (CO2) dan bahan lain oleh manusia yang mengakibatkan Bumi menjadi semakin panas dan perubahan cuaca. Tumpuannya adalah untuk mengambil tindakan sekarang sebagai persediaan menghadapi isu perubahan iklim dan bencana alam yang akan diakibatkannya.

Mari kita fikirkan cara untuk menghentikan pelepasan CO2.


Kebanyakan pencemaran laut berpunca daripada aktiviti yang dilakukan oleh manusia di darat. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan pencemaran laut, menghentikan penangkapan ikan secara haram yang membahayakan alam sekitar, dan memastikan sumber di lautan boleh digunakan secara mampan.

Laut dipenuhi dengan sampah plastik tidak terurai yang mencemarkan air dan masuk ke dalam badan ikan.


Melindungi hutan dan menghentikan pengembangan padang pasir adalah penting untuk memelihara dan menjana semula ekosistem tanah (dalam erti kata lain, haiwan dan habitat mereka) dan untuk menggunakannya secara mampan. Spesies terancam perlu dilindungi dan kemusnahan biodiversiri hendaklah dicegah.

Mari kita fikirkan cara untuk menghalang bilangan pokok dan haiwan daripada semakin berkurang.


Matlamatnya adalah untuk membina masyarakat yang aman dan terangkum yang membolehkan semua orang menikmati akses kepada undang-undang (mahkamah dan prosedur undang-undang), dan untuk memastikan bahawa institusi yang adil bergerak aktif pada peringkat komuniti, negara, dan global.

Semua orang layak hidup dalam dunia yang aman, selamat dan adil.


Matlamatnya adalah untuk memastikan supaya semua negara berganding bahu untuk mencapai Matlamat 1 hingga 16. SDG mesti disertakan dalam rancangan negara dan langkah yang lebih serius diambil untuk merealisasikannya. Setiap negara perlu memikirkan tindakan yang boleh mereka ambil dan cara mereka boleh menggunakan sumber kewangan mereka untuk mencapai matlamat ini. Negara maju boleh membantu negara membangun dalam usaha mereka.

Mari kita pastikan kita dapat melengkapkan misi SDG: Pastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
Fikirkan tindakan yang boleh anda lakukan!
