Falsafah Asas Perusahaan Kumpulan Panasonic 10. Membangunkan dan Menggunakan Potensi Orang
(1) Cara Pemikiran Kumpulan Panasonic terhadap warga pekerjanya
Kuasa sesebuah syarikat ialah jumlah setiap seorang pekerjanya. Oleh itu, sekiranya mahu meningkatkan kuasa, setiap orang perlu memahami tugas kerja untuk dilakukan dalam skop mereka, menggunakan semua kebolehan dan membuat penambahbaikan secara proaktif.
Hanya apabila menyatukan matlamat setiap seorang pekerja dengan matlamat syarikat, dan apabila lanjutan matlamat peribadi menjadi serupa dengan matlamat syarikat, barulah kita boleh menggabungkan dan menyusun usaha setiap seorang pekerja, dan boleh melakukan kerja yang hebat dan terunggul yang boleh dipilih oleh pelanggan.
Untuk tujuan tersebut, pegawai atasan perlu memahami personaliti dan kebolehan setiap seorang pekerja bawahannya, dan berusaha untuk menyerlahkan kelebihan setiap pekerja tersebut supaya mereka boleh menggunakan kebolehan mereka dengan rasa kepuasan. Pada masa yang sama, pekerja bawahan perlu mempercayai potensi diri dan meneruskan usaha untuk meningkatkan kebolehan diri.
Dengan erti kata lain, orang yang bertanggungjawab untuk memperkembangkan Kumpulan Panasonic merupakan setiap seorang daripada kita sebagai pekerja. Sama ada Kumpulan Panasonic boleh terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat pada masa depan bergantung pada sikap dan kelakuan setiap seorang daripada kita sebagai pekerja.
Dengan latar belakang sebegini, dasar pengurusan kita adalah untuk membangunkan dan menggunakan sumber manusia yang diamanahkan oleh masyarakat kepada kita. Bak kata pengasas, "Perniagaan ialah orang".
"Perniagaan ialah orang": Orang yang betul akan dapat membangunkan apa-apa sahaja jenis perniagaan. Tidak kira betapa megahnya sejarah dan tradisi sesebuah syarikat, sekiranya tidak mendapat orang yang boleh menerima dan meneruskan tradisi tersebut, lama-kelamaan syarikat tersebut akan merosot. Walaupun sudah tentu organisasi pengurusan dan kaedah adalah penting, perkara yang merealisasikan pelaksanaan tersebut masih merupakan orang. Oleh sebab itu, perkara yang pertama sekali dalam pengurusan perniagaan ialah pencarian dan pembangunan sumber manusia.
(2) Meningkatkan kebolehan diri
Sebagai seorang daripada warga Kumpulan Panasonic, kita hendaklah membuat keputusan nilai yang betul dengan sentiasa memiliki hati yang tulus dan berdasarkan Falsafah Asas Perusahaan, dan meningkatkan kebolehan diri melalui pelaksanaan ketat setiap hari dan renungan kembali yang rendah diri terhadap pengalaman tersebut.
Prinsip untuk dipatuhi (Tujuh Prinsip) terutamanya merupakan dasar yang bertujuan untuk membangunkan diri sebagai seorang daripada warga Kumpulan Panasonic. Pada masa yang sama, dasar ini juga bertujuan untuk membimbing kehidupan sebagai seorang industrialis yang berimpian untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Bekas Presiden, Encik Awatarou Takahashi berkata seperti yang berikut tentang makna pelaksanaan tersebut.
"Tujuh Prinsip" merupakan prinsip asas Falsafah Asas Perusahaan. Contohnya, kandungan "Prinsip Sumbangan kepada Masyarakat" merupakan perealisasian Matlamat Asas Pengurusan. Pelaksanaan perkara tersebut secara khusus bermakna melakukan kerja yang dipilih oleh pelanggan dan yang terunggul dari segi kualiti, kos dan perkhidmatan. Jika kita memahaminya sebegitu, kita harus sentiasa membuat renungan kembali seperti bertanya diri "adakah produk yang kita keluarkan benar-benar menyumbang kepada masyarakat?" atau "adakah cara pembuatan sekarang adalah yang terbaik?". Renungan kembali dan ulasan seperti itu diteruskan setiap hari. Daripada perulangan tindakan tersebut, lahirnya kaedah yang kreatif, dan dasar asas khususnya dapat dicerminkan dalam kerja. Oleh itu, kita tidak akan dapat membangunkan bakat orang tanpa dasar asas yang jelas.
Syarikat mempunyai kewajipan untuk membangunkan sumber manusianya dengan tepat pada masanya dan dengan sewajarnya. Pada masa yang sama, setiap seorang daripada kita harus memiliki semangat untuk meningkatkan kebolehan diri dan meneruskan usaha untuk mencapai matlamat diri.
(3) Cara pemikiran tentang pembangunan sumber manusia
Berkenaan kepentingan pembangunan sumber manusia di Kumpulan Panasonic, pengasas berkata "Sebelum membangunkan produk, kita membangunkan orang". Pengasas mempercayai bahawa, bagi membangunkan produk yang baik, kita perlu membangunkan orang yang sesuai terlebih dahulu.
Akan tetapi, bagaimanakah kita boleh membangunkan bakat orang dan memanfaatkan potensi mereka? Asasnya adalah dengan membangunkan sumber manusia yang memahami Falsafah Asas Pengurusan, melakukan kerja dengan betul berdasarkan falsafah tersebut, membuat renungan kembali secara rendah diri dan menyasarkan pencapaian yang lebih tinggi secara berterusan setiap hari.
Perkara penting dalam pembangunan sumber manusia adalah pegawai atasan dapat menugaskan kerja kepada pekerja bawahan dengan yakin. Inilah merupakan dasar Pengurusan Tanggungjawab Kendiri. Pembangunan bakat orang berlaku di tempat kerja sebenar. Bagi mendapat kebolehan untuk melakukan kerja dengan lebih baik, orang perlu melakukan kerja sebagai kerja sendiri, berfikir dengan sendiri, melaksanakan kerja sambil belajar sendiri di tempat kerja sebenar.
Penugasan tidak bermaksud melemparkan segala tugas kepada pekerja bawahan. Pegawai atasan harus memiliki kesedaran bahawa tanggungjawab akhir adalah miliknya sambil menggalakkan pekerja bawahan untuk memiliki sifat kendiri mereka dan terus membuat pertimbangan dan penambahbaikan. Perkara ini bukan bermaksud pegawai atasan harus mengajarkan segalanya. Pegawai atasan harus berkomunikasi dengan pekerja bawahan supaya pekerja boleh berfikir, menyedari dan memahami ajaran yang dipelajari.
Walaupun pegawai atasan haruslah mempertimbangkan keadaan pekerja dan kadang-kadang menjadi tegas dengannya, tetapi perkara yang paling penting adalah supaya setiap seorang pekerja boleh mempercayai pegawai atasan dan berkomunikasi dengan kejujuran dan kemesraan supaya pekerja boleh melakukan kerja dan menyasarkan perkembangan diri dengan perasaan terjamin.
Dengan menjalankan tanggungjawab dengan cara yang tidak melepaskan tangan sepenuhnya, pegawai atasan haruslah membimbing pekerja bawahannya untuk membuat pertimbangan tentang risiko yang mungkin timbul pada masa depan dengan lebih mendalam. Pegawai atasan juga dapat meningkatkan kebolehan diri dengan perkara yang dipelajari daripada pekerja bawahannya.
Salah satu contoh pelaksanaan adalah semasa penubuhan kilang Saga. Pada awal 1960-an, semasa Presiden Awatarou Takahashi ingin menubuhkan kilang bateri untuk Matsushita Electric yang di bawah pimpinannya di wilayah Saga, beliau telah memilih dua pemuda yang berusia lebih kurang 30 tahun yang tiada pengalaman dalam penubuhan kilang, dan mengamanahkan segala perkara daripada penyediaan bangunan dan peralatan kilang sehingga permulaan proses pembuatan kepada mereka.
Bekas Presiden Takahashi tidak menerangkan keperluan yang terperinci dan hanya memberikan garis panduan tentang cara pemikiran asas, tetapi pada masa yang sama, beliau juga memberikan permintaan yang sukar seperti meminta dua pemuda tersebut untuk mengurangkan separuh daripada kos pembangunan bangunan yang dicadangkan pada mula-mula. Dua pemuda tersebut mengusahakan hal tersebut dengan sedaya upaya mereka dan akhirnya, mereka dapat menubuhkan kilang tersebut dengan kos yang kurang daripada belanjawan asal. Selepas itu, dua pemuda tersebut telah meneruskan sumbangan mereka dalam kegiatan penubuhan kilang di luar negara dan pengurusan syarikat Kumpulan Panasonic sebagai pengurus.
Tugas yang paling penting bagi seorang pengurus ialah pembangunan sumber manusia. Kumpulan Panasonic bermatlamat untuk menjadi syarikat ideal dan ingin terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Dengan menetapkan impian dan matlamat besar seperti itu, jangka masa bagi setiap seorang daripada kita terlibat dalam perniagaan boleh dikatakan hanyalah suatu tempoh yang singkat. Oleh itu, daripada perspektif kelangsungan perniagaan buat selamanya, pegawai atasan haruslah membangunkan pekerja bawahan supaya mereka boleh menurunkan legasi kepada generasi akan datang.
Pegawai atasan mempunyai tanggungjawab untuk membimbing pekerja bawahan agar mereka dapat melepasi tahap kebolehannya sendiri. Dalam keadaan yang masyarakat berkembang maju dengan pesat, kita tidak boleh menganggap bahawa cara sekarang boleh digunakan untuk zaman yang akan datang. Pegawai atasan haruslah membantu pekerja bawahan supaya mereka mendapat kebolehan untuk menangani pelbagai kesukaran dengan fleksibel apabila mereka memegang jawatan yang bertanggungjawab tinggi.
Terdapat banyak lagi kata-kata pedoman tentang pembangunan dan penggunaan bakat orang yang ditinggalkan oleh warga pekerja dahulu. Kami berharap anda dapat menggunakannya dalam pembangunan bakat orang dan pertumbuhan anda sendiri.
- 1. Misi Syarikat
- 2. Misi Kumpulan Panasonic, dan Perkara Yang Kita Mesti Lakukan Sekarang
- 3. Matlamat Asas Pengurusan
- 4. Pedoman Syarikat dan Tujuh Prinsip
- 5. Falsafah Asas Perusahaan Kumpulan Panasonic
- 6. Mengamalkan Falsafah Asas Perusahaan
- 7. Mendahulukan Pelanggan
- 8. Pengurusan Tanggungjawab Kendiri
- 9. Pengurusan Seluruh Warga Pekerja Melalui Kebijaksanaan Kolektif
- 10. Membangunkan dan Menggunakan Potensi Orang
Satu set garis panduan tingkah laku untuk setiap pekerja mengikut dalam usaha mereka untuk melaksanakan Falsafah Perniagaan Asas ke dalam amalan.